Proxy Website

Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Proxy.org

Rabu, 21 Oktober 2009

DYSLEXIA

ULASAN FILEM DYSLEXIA “TAARE ZAMEEN PAR ˮ

Taare Zameen Par adalah filem pertama arahan Amir Khan. Filem yang diterbitkan di India pada penghujung Disember 2007. Di dalam filem ini mengisahkan tentang kehidupan seorang budak kecil bernama Ishan yang menghidapi masalah dyslexia atau kesukaran dalam menerima pembelanjaran sehingga terpaksa mengulang kelas yang sama kerana tidak melepasi gred pembelajaran pada peringkat tertentu. Watak Ishan dalam filem tersebut berjaya dilakonkan dengan sangat berkesan sehingga saya sendiri tertanya-tanya adakah pelakon itu benar-benar mempunyai permasalahan yang sama dalam kehidupan sebenarnya. Wataknya telah membuatkan saya berfikir bagaimanakah seandainya saya sendiri mengalami masalah tersebut dan adakah saya mampu untuk mengatasinya tanpa bantuan, sokongan dan juga bimbingan daripada orang lain.
Disleksia (Dyslexia) berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud "kepayahan" untuk perkataan "dys" dan "bahasa" untuk perkataan "lexia". Maka itu, bolehlah disimpulkan bahawa perkataan disleksia bermaksud kepayahan bahasa. Menurut Pakar Pediatrik di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Zabidi A.M. Hussin, dyslexia merujuk kepada masalah ketidakmampuan otaknya untuk mentafsirkan simbol-simbol. Justeru, kanak-kanak ini menghadapi masalah membaca, mengeja, sentiasa keliru dengan arahan serta lambat untuk memulakan sesuatu. "Sebagai contoh kanak-kanak dyslexia ini selalu menulis terbalik dan sukar meniru simbol-simbol yang mudah, jika disuruh menulis 203, mereka akan menulis 200 3”. Oleh sebaba itulah, setiap mereka melakukan sesuatu yang mereka fikirkan betul dan memang menepati segala pembelajaran daripada guru mereka, tetapi hakikatnya apa yang mereka buat adalah salah kerana dari sudut imaginasi mereka yang terbalik dan mereka memang tidak menyedarinya.
Kepintaran kognitif atau IQ kanak-kanak disleksik sebenarnya setaraf atau lebih tinggi daripada kanak-kanak lain yang tidak menghadapi masalah disleksia.Walaupun para penyelidik telah mengetahui bahawa punca masalah disleksia ini ialah dari fungsi otak yang memproses dan mengatur informasi secara berbeza dari kebiasaan kanak-kanak normal, namun sehingga kini, tiada rawatan atau penawar untuk masalah disleksia ini. Rosana (1998) menyatakan bahawa kanak-kanak disleksia dapat dikesan melalui 8 ciri iaitu:- kosa kata tulisan tidak seimbang dengan kosa kata lisan, lambat dalam tindakan berlisan, lemah dalam menyusun isi barangan, tahu pada sesuatu ketika dan lupa pada hari berikutnya, kurang kemahiran mengeja pada tahap yang sepatutnya, faham bahan pengajaean dalam kelas tetapi merosot dalam ujina, tidak tepat dalam bacaan dan tidak terancang. Namun begitu Disleksia bukanlah satu kecacatan dan tiada kaitan dengan tahap kecerdikan atau IQ seseorang (Sofiah 2000). Disleksia tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dirawat (BOLD 2000). Hasil Kajian pakar perubatan mendapati dari segi fizikal, kanak-kanak disleksia adalah aktif (Zabidi 2000). Ini adalah kerana hanya pendidikan yang sistematik dan berkesan berdasarkan pengenalpastian kawasan kelemahan yang perlu diberi perhatian akan dapat meminimumkan permasalahan dan kekeliruan para disleksia.
Menurut kajian Zabidi lagi, beliau juga mendapati kanak-kanak ini juga mengalami kesukaran untuk mengenal pasti antara kiri dan kanan. Di samping itu, mereka juga didapati mengalami kesukaran untuk menangkap bola yang dilontarkan kepada mereka. Bagaimanapun hasil kajiannya mendapati, dari segi fizikalnya, kanak-kanak ini adalah aktif. Ketidakupayaan mereka untuk membaca dan menulis menyebabkan kebanyakan kanak-kanak ini tidak berminat di dalam pelajaran, sebaliknya lebih berminat dengan perkara-perkara lain. Kajian-kajian di negara Barat juga mendapati kebanyakan kanak-kanak dyslexia adalah kreatif dan berseni. Mengenai punca masalah ini, beliau berkata antaranya ialah ketidaknormalan genetik, gangguan sebelum dan selepas bayi dilahirkan, pertumbuhan yang tidak normal dan kekurangan zat semasa awal pertumbuhan kanak-kanak.
Situasi inilah yang kita dapat lihat dalam filem Taare Zameen Par, akibat masalah disleksia, Ishan sentiasa melihat huruf menari-nari. Ini membuatkan dia sukar untuk membaca dan menjadi bahan ketawa kawan-kawannya. Dalam filem ini juga watak Amir Khan sebagai seorang guru yang mengalami masalah yang sama dengan Ishan ketika kecilnya telah berjaya berjaya mengesan masalah disleksia yang dihadapi oleh Ishan. Beliau bijak dalam mengatur dan menyusun bahan pengajaran dalam bentuk-bentuk yang disukai dan menarik minat kanak seperti Ishan untuk belajar dengan menggunakan muzik, animasi, dan sebagainya. Ishan juga sering membayangkan sesuatu melebihi orang lain dan akan mengimajinasikan dalam bentuk lukisan.
Babak-babak awal dalam filem ini banyak memaparkan peranan guru yang langsung tidak mempunyai kualiti dalam pengajaran. Mereka hanya reti atau tahu menggunakan satu kaedah pengajaran yang biasa tidak menyelitkan bahan-bahan yang berlainan dan disukai oleh pelajar-pelajar seusia Ishan yang iginkan keseronokan dalam proses pembelajaran. Guru-guru yang mengajar Ishan sangat mementingkan baca tulis semata-mata, mereka langsung tidak mengambil kira adakah murid-murid memahami atau tidak apa yang mereka ajarkan. Pada saya, apa yang digambarkan dalam filem ini ada benarnya dan memang realiti sebilangan guru-guru yang ada pada hari ini. Kebijaksanaan seorang guru adalah apabila mengajar, pelajar mampu memahami dengan jelas apa yang diajarkannya. Jesteru itu dalam proses PNP seharusnya seorang guru kretif dan bijak mengatur kaedah pengajarannya. Walau bagaimanapun, watak guru tidaklah negatif sampai akhir. Watak gurulah yang kemudiannya menemukan masalah yang dihadapi oleh Ishan. Malahan caranya mendidik Ishan menulis dan mengira benar-benar menakjubkan dan menambah pengetahuan saya dalam memahami cara pendidikan kreatif.
Watak-watak guru lain yang asalnya jelek pada Ishan juga ditunjukkan berubah apabila diberi pandangan baru oleh Ishan. Malahan bapa Ishan juga beransur menerima hakikat setelah mengetahui situasi sebenar anaknya dan bukti kejayaan yang ditunjuk oleh anaknya dalam bidang yang sesuai bagi orang sepertinya. Bentuk optimis yang begitu indah. Pada saya setiap manusia mampu untuk berubah sekiranya dorongan, semangat serta pengajaran yang diberikan bersesuaian dengan keinginan dan kualiti hidupnya. Begitu juga kisah yang ditunjukkan dalam filem ini. Bagi saya juga, filem ini wajar ditonton oleh masyarakat, ibubapa dan guru agar tahu apakah sebenarnya disleksia dan sekurang-kurangnya mempunyai pendedahan berkaitan masalah tersebut. Mungkin setelah mengetahui hal ini mereka mampu mengesan anak-anak atau pelajar-pelajar yang mengalami masalah sebegini.
Oleh itu, cara didikan kanak-kanak yang sukar mendapat kefahaman yang sempurna, bermasalah emosi dan sosial juga berkemungkinan mendapat disleksia. Bagaimanapun, masalah ini boleh diatasi dengan bimbingan yang betul dan berterusan. Kanak-kanak disleksia ini sebenarnya boleh atasi dan menjadi normal melalui latihan-latihan membaca menggunakan kaedah fonetik, seperti bacaan Iqra dan juga terapi pengucapan. Guru sekolah rendah sememangnya menyedari masalah disleksia dalam kalangan pelajar sekolah, tetapi kebanyakan mereka tidak begitu mengambil berat perkara ini kerana kesuntukan masa untuk memberi perhatian yang lebih kepada mereka ini. Disebabkan itu, murid-murid disleksia ini juga sering disalah anggap sebagai kanak-kanak yang lembap dan lemah dalam pelajaran. Justeru, pendekatan yang lebih sesuai untuk mengatasi masalah ini perlu difikirkan supaya kanak-kanak disleksia mampu bersaing dan mempunyai masa depan yang cerah. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seharusnya memainkan peranan bagi mengatasi masalah pelajar disleksia untuk mereka mencorak masa depan yang gemilang, disamping peranan daripada ibubapa untuk memancu anak-anak mereka untuk maju walaupun menghadapi masalah pembelajaran pada peringkat awal.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

komentar

 
© Copyright by farid@abe.technology and networking services  |  Template by Blogspot tutorial